Friday, October 25, 2013
Kes Rompakan di bank, 3 ditahan, RM20,000 dijumpai
2:57 PM
25/10/2013 2:04pm
SHAH ALAM - Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita, dipercayai isteri kepada suspek kes bunuh seorang pegawai bank yang mati ditembak pengawal keselamatan di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga suspek iaitu dua saudara lelaki suspek dan wanita berusia 20a-an dan 30a-an itu ditahan di sebuah rumah di Kota Kemuning, dekat sini pada malam kejadian tersebut.
Menurut beliau, siasatan lanjut juga menemui semula wang RM20,000 yang dilarikan suspek dalam kejadian itu pada salah seorang saudara lelakinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah gedung perniagaan di Subang Jaya pada hari yang sama.
Kata beliau, siasatan lanjut juga mendapati suspek yang melarikan wang berjumlah RM450,000 itu bukan warganegara Malaysia dan menggunakan kad pengenalan palsu dipercayai berasal dari negara jiran.
"Siasatan kini masih dijalankan bagi memburu suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37.
"Suspek juga dipercayai berbahaya kerana memiliki selaras senjata jenis pump gun dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya yang mempercayai suspek masih berada dalam negara ini.
Ekoran kejadian itu, Mohd. Shukri turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan gambar-gambar mangsa yang boleh menyebabkan mereka yang didapati melakukannya diambil tindakan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kita (polis) sudah membuat laporan dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan gambar-gambar mangsa yang dipercayai boleh mengggangu siasatan dan proses undang-undang.
"Adalah menjadi satu kesalahan bagi orang awam termasuk anggota polis melakukan perbuatan tersebut dan kita boleh mengambil tindakan mengikut seksyen tersebut," ujarnya. - KOSMO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment